Saturday, May 9, 2009

Suara Belia ;Pengiktirafan Kepada Belia

Pengiktirafan yang diberikan kepada pembangunan belia, lazimnya tidak sehebat yang diberikan kepada sukan, manakala di sekolah, pengiktirafan kepada kokurikulum dilayan seperti kelas dua berbanding akademik.

Namun, persoalannya ialah pengiktirafan yang diberikan kepada pembangunan belia, lazimnya tidak sehebat yang diberikan kepada sukan, manakala di sekolah, pengiktirafan kepada kokurikulum dilayan seperti kelas dua berbanding akademik. Tetapi, sebenarnya, bagi belia, termasuk remaja dan pelajar, pengiktirafan hakiki yang diminta bukanlah dalam bentuk anugerah. Apa yang benar-benar diminta ialah untuk suaranya didengar, dapat berpartisipasi secara penuh dan berkesan melalui pendekatan penghakupayaan (empowerment) sehingga ke peringkat membuat keputusan bagi seluruh hal ehwal kehidupan dan masa depannya.

Malangnya, inilah perkara yang jarang berlaku dalam masyarakat kita. Kita jarang mendengar suara mereka. Kalau adapun langkah mendengar suara mereka, contohnya dengan mengadakan dialog, tetapi tidak berlaku dalam bentuk komunikasi dua hala. Kita bercakap dan mereka mendengar saja.

Keadaan ini berlaku mungkin kerana sebahagian kita sebagai ibu bapa, guru, pemimpin dan pengurus belia, pegawai kerajaan dan ahli politik, kurang kemahiran berkomunikasi dengan belia, remaja dan pelajar. Jika ini faktornya, maka ia mudah diselesaikan. Kita cuma perlu menambah kemahiran, misalnya, dengan menelaah buku berkaitan, seperti tulisan Adele Faber dan Elaine Mazlish (2005), How to Talk So Teens Will Listen & Listen So Teens Will Talk. Tetapi, apa yang merisaukan ialah kemungkinan keadaan ini berlaku akibat faktor lebih besar, iaitu ketidakfahaman kita terhadap permintaan belia yang mahu suaranya didengar, atau lebih parah lagi, sekiranya ia berlaku akibat keengganan kita meraikan permintaan mereka.

Di samping itu, sekiranya kita memahami dan bersedia meraikan permintaan mereka tetapi menggunakan pula pendekatan salah, maka, suara belia masih juga tidak didengari dalam erti kata sepatutnya. Oleh itu, amat penting kita memahami permintaan belia, remaja dan pelajar, bersedia meraikannya dan menggunakan pendekatan yang sesuai. Barulah mereka puas kerana suaranya benar-benar didengar.

Faktor utama mengapa sebahagian kita tidak mendengar suara belia ialah kerana kita tidak mengiktiraf kepemimpinannya. Kita menganggap mereka sebagai pemimpin masa depan saja. Jadi, hari ini, ketika masih belia, remaja dan pelajar, kita memimpin mereka. Sebab itulah kita berasa yang kita tahu segala dan mereka cuma perlu - malahan dipaksa - mengikut saja cakap kita. Memanglah, untuk menjadi pemimpin utama sekolah, universiti, masyarakat dan kerajaan, mereka perlu menunggu masa depan.

Tetapi, hakikatnya ialah pada hari ini juga, mereka adalah pemimpin dalam tiga keadaan, iaitu sebagai pemimpin angkatan yang lebih muda daripadanya, sebagai pemimpin angkatan yang sebaya dengannya dan sebagai rakan kepemimpinan dengan kita yang lebih tua daripadanya. Kerana itu, belia tidak boleh hanya dilihat sebagai ‘peserta’ sesuatu dasar dan program, tetapi hendaklah dilihat sebagai ‘pemimpin’ atau ‘pemimpin bersama’ dasar dan program itu.

Mengiktiraf belia sebagai pemimpin adalah antara matlamat Mantan PM (Tun pakLah) ketika menjadi Ketua Pengarah Belia apabila beliau mencadangkan penubuhan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) pada 1972, yang ketika merasmikannya, disifatkan Allahyarham Perdana Menteri, Tun Abdul Razak sebagai ‘Parlimen Belia’. Di sini, pemimpin belia berunding dengan pemimpin kerajaan. Inilah maksud ayat ‘partisipasi belia dalam perancangan negara’ dalam Dasar Belia Negara yang diluluskan kerajaan pada 1985 dan ‘perkongsian dalam pembangunan’ dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (1997) yang menggantikan dasar yang terdahulu.

Inilah juga maksud partisipasi belia dalam dokumen pertama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan khusus untuk belia, iaitu Guidelines for Further Planning and Suitable Follow-Up in the Field of Youth (1985). Bagi membudayakan konsep itu, maka pada 1985 yang dirayakan sebagai Tahun Belia Antarabangsa menggunakan tema ‘Partisipasi, Pembangunan, Keamanan’. Tetapi, memandangkan matlamat partisipasi belia itu tidak begitu tercapai, maka, pada 1995, dokumen PBB yang baru, iaitu World Programme of Action for Youth to the Year 2000 and Beyond mempunyai tajuk khusus iaitu ‘Partisipasi belia yang penuh dan efektif dalam kehidupan masyarakat dan dalam membuat keputusan’. Selanjutnya, Persidangan Pertama Menteri-menteri Belia Sedunia anjuran PBB pada 1998, melalui Lisbon Declaration on Youth Policies and Programmes menegaskan keperluan meningkatkan perkongsian membuat keputusan di kalangan semua pihak berkepentingan dalam pembangunan belia, termasuk pemimpin belia.

Mulai 2003 pula, PBB menerbitkan laporan tahunan mengenai belia dunia. Setiap laporan sentiasa menyentuh soal betapa perlunya ditingkatkan lagi partisipasi belia dalam membuat keputusan. Kini, di samping partisipasi belia, istilah yang membudaya ialah ‘penghakupayaan belia’ (youth empowerment). Antara yang mula-mula menggunakannya ialah Setiausaha Agung MBM dalam ucap utamanya di Forum Belia Serantau anjuran Program Belia Komanwel pada 1997. Istilah ini kemudian digunakan dalam Mesyuarat Menteri-menteri Belia Komanwel di Kuala Lumpur dan Persidangan PBB pada 1998 itu.

Makna penghakupayaan belia ialah ‘membolehkan dan mendapatkan belia untuk memahami dan bertindak atas semua isu (seperti peribadi, keluarga, sosial, budaya, ekonomi, politik dan antarabangsa) yang menyentuh dirinya dan segala yang di sekitarnya yang mereka adalah sebahagian daripadanya’.

Selanjutnya, penghakupayaan belia mencadangkan kerangka ‘governans baru’, iaitu transformasi daripada keadaan kini di mana wujud hubungan tiga segi yang tidak seimbang antara ketiga-tiga sektor pembangunan (kerajaan, perniagaan dan belia/masyarakat), kepada keadaan baru di mana wujud hubungan sinergi antara ketiga-tiga sektor itu yang bekerjasama pada kedudukan yang adil.

Tujuannya supaya perwakilan belia berada secara rasmi, dan bukannya ikut suka pihak atasan saja hendak menjemputnya atau tidak, dalam seluruh struktur dan proses membuat keputusan. Barulah kita benar-benar mendengar suara belia.

No comments:

Post a Comment