Wednesday, February 4, 2009

POLITIK: CANDU PENJAJAH UMAT

Oleh Ibn Ramadan (http://sanaabel.blogspot.com)

Sesungguhnya tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepada Ku - al-Zariyat 56. Segala puji bagi Allah pencipta dan pentadbir segala yang di langit dan segala yang di bumi, selawat serta salam penuh penghormatan kepada penghulu para Ambiya`, Muhammad saw, kaum keluarga Nabi dan semua sahabat yang diredhai Allah swt. Tidak dilupakan kepada semua muslimin dan muslimat yang mewarisi perjuangan mereka sehinggalah ke hari qiamat.
Tidak ada sebuah negeri atau daerah ummat Islam yang ditinggalkan oleh penjajah kepada anak-anak pribuminya melainkan setelah mereka memastikan setiap anak-anak pribumi tersebut menganut fahaman atau mempunyai persepsi yang sama dengan penjajah, melihat dan bermuamalah dengan dunia sekeliling mereka.


Persoalan ini sebenarnya bukan sekadar penjajah berjaya mendoktrinkan spesis pewaris ideologi mereka seperti sekularisma, pragmatisma, nasionalisma dan lain-lain. Tetapi jauh lebih ke dalam dari yang disangkakan ummah selama ini apabila fahaman atau amalan politik sistem demokrasi telah seolah-olah diterima pakai oleh semua pihak, termasuk yang mendakwa mewakili kelompok ummat Islam.

Fahaman ini begitu rakus mencengkam khalayak ummah sehingga mengujudkan `status quo` tertentu di dalam masyarakat ummah seperti yang telah saya sebutkan dalam keluaran yang lalu. Politik pilihanraya sebenarnya satu ruang yang begitu sempit yang diizinkan oleh sistem demokrasi di kebanyakan bekas negara-negara jajahan untuk `menjinakkan` keupayaan ummah berjihad dan bersiasah. Apakah kewajarannya ummah perlu tunduk kepada persepsi atau sistem jahiliyyah tersebut?

Perjuangan ummah sebenarnya tidak perlu terikat atau mengikut rentak kemahuan musuhnya pada zaman mana sekalipun, itulah yang dicontohkan kepada kita oleh junjungan Rasulullah saw. Kenapa kita perlu melihat atau membuat kesimpulan mudah bahawa politik berpilihanraya tersebut adalah medan `jihad` kita zaman sekarang? Lalu kita mencetuskan satu suasana bahawa sesiapa atau golongan lain yang tidak bertungkus lumus menggunakan kaedah itu sebagai tidak berjihad, tidak Islamik.

Saya tidak nampak kewajaran takrifan sebegini melainkan satu escapisme yang nyata dari sekelompok ummah untuk mengabaikan tanggungjawab ataupun amanah berjamaah dan berjihad seperti yang difardhukan oleh Allah swt. Mereka memilih zon selesa dan membiarkan bidang-bidang yang lain dipenuhi oleh ummah sendiri…

Tanggungjawab jihad ataupun siasah itu sendiri, tidak perlu ummah meminta Obama, Olmert atau Pengerusi PBB untuk mentafsirkannya kepada kita, kemudian barulah kita boleh bertindak dan bersiasah menjalankan tugas `jihad` kita menegakkan `perjuangan Islam` dan mendirikan negara Islam. Definisi politik pilihanraya bagi sistem demokrasi yang berjalan sekarang menjadikan ummah alpa kepada tanggungjawab sebenar mereka membangun, menegakkan dan membebaskan ummah dari segala rangkaian sistem jahiliyyah dengan mengamalkan agama yang ummah yakini iaitu Islam. Tetapi ummah diheret membuang masa bertahun-tahun untuk membincang dan menganalisa issu-issu dari sistem jahiliyyah seterusnya memberi komen atau mendedahkan korup penguasa-penguasa (pengamal sistem jahiliyyah).

Sebagai ummat Islam yang menganut ad-Deen yang sebenar, lebih-lebih lagi mereka yang telah meletakkan diri masing-masing di saf hadapan sebagai pejuang-pejuang Islam, sepatutnya lebih dahulu maklum bahawa sistem jahiliyyah itu sendiri yang pincang dan korup. Mana mungkin pengamal-pengamalnya tidak pincang dan korup. Tidak ada dalam fikrah penganut Deenul-haq untuk mengiktiraf atau meyakini bahawa masih ada ruang untuk pengamal-pengamal sistem yang lain dari al-Islam dalam kehidupan mereka.

Terlalu dangkal dan hina rasanya jika ummah yang kalut dan sibuk menegur si anu bin si anu tidak layak menjadi penguasa no 1 negara pengamal sistem demokrasi (jahiliyyah), seolah-olah jawatan no 1 itu agenda agama kita pula, sedangkan tugas kita ialah membebaskan semua ummah dari mengikut atau menjadi hamba penguasa no 1 tersebut, supaya menjadi pengikut atau hamba Penguasa No 1- Allah swt.
Tiada makna jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan akhirnya berjaya menjadi penguasa no 1 atau menggantikan pemegang jawatan tersebut dengan menjunjung di kepala sistem yang sedia ada. Bila perbezaannya adalah sistem, cara hidup, muamalah - maka jalan, cara serta kaedah-kaedah untuk sampai juga tentulah berbeza.
Pemerintahan Saidina Umar dapat membebaskan Baitulmaqdis dahulu apabila beliau dan tenteranya tidak meletakkan sistem jahiliyyah ketika itu di kepala, tempatnya di bawah telapak kaki mereka! Empayar Parsi runtuh dan hancur apabila tentera dan ummat Islam sehati sejiwa melihat mereka hina tak layak menguasai dunia yang pemilik sebenarnya ialah hamba-hamba Allah yang bertaqwa. Barulah diketika itu seorang mujahid mampu dengan kuda-kudanya memijak dan menjatuhkan kebesaran dan kesombongan kisra.


Tidak timbul masalah anugerah-anugerah kebesaran (jahiliyyah) diberikan kepada pelakon bollywood menjadi issu besar `ummat`. Bukan urusan dan sebab kita berlaku kepincangan dan kemelesetan ekonomi negara dan serantau. Bukan asuhan atau didikan kita juga akhlak muda-mudi runtuh. Persoalan-persoalan, anugerah, kemelesetan dan muda-mudi yang tenat bukan akibat dari agenda agama kita (Islam), sebab itu kita tidak akan sibuk dengan urusan jahiliyyah, tetapi tak cukup masa serta kakitangan untuk berusaha membebas, menegakkan dan membangunkan keupayaan ummah dengan menggunakan seluruh potensi ummat Islam yang berorientasikan ad-Deen kita.

Ummah yang sedar akan merasa hairan melihat ada dikalangan kita yang siang malam, pagi petang menghalakan segala potensi ummah membuat kerja sia-sia membina dan mempertahankan sistem jahiliyyah. Dengan kata lain menegur dan mengkritik supaya `tak sepatutnya buat begitu tetapi kena buat begini… ..anugerah itu tak layak bagi kat `maarup tuu` tapi bagilah kat aku atau pun orang-orang aku sama.` Awat! Bila bagi kat aku atau orang-orang aku… anugerah itu jadi anugerah Islam ka? `Dato` Mufti tu tak patut diberhentikan kerana masih muda dan ternyata sihat lagi…ini semua kerana ada kaitan dengan kepentingan politik pihak-pihak tertentu`. Awat kekalkan dia atau lantik `tok peti` baru mampukah dia mendaulatkan Islam? `Kita perlu buat rombongan pi mengadap golongan berdarjat, jangan biarkan musuh saja yang bersahabat dengan yang berdaulat.` Awat ! kekalkan golongan koperat dan keparat ini menguntungkan ummat? Merekalah spesis lintah darat yang pandai-pandai mengaku ketua bagi ummat Nabi Muhammad! Ciiss!! Minta simpang…dijauhkan Allah dari bersyubahat dan bersahabat.

Ya! malang bagi ummat selama… puluhan tahun ini menjadi penagih yang tegar kepada candu yang ditinggalkan penjajah mereka sendiri. Politik pilihanraya dalam sistem yang bukan Islam biar sebagai mana indah dan molek rupa parasnya, sebenarnya palsu, memukau, memabukkan, khayalan…lagha…!

Menjanjikan jalan pintas kepada ummat kononnya….
Perjuangan Islam mesti bermula dan berjalan, seterusnya berkembang serta meraih kejayaannya dengan uruf atau akhlaknya yang tersendiri. Akhlak atau uslub perjuangan yang tidak tunduk kepada kehinaan para makhluk tetapi patuh serta tunduk lalu sujud mencari keredhaan Allah Azzawajalla.


` Permulaan Islam itu dalam keadaan dagang, dan akan kembali dagang,.
Maka berbahagialah orang-orang yang bersama-sama orang-orang yang dagang.` Sekian dahulu untuk pertemuan dan perbincangan pada kali ini, semoga kita semua diberi hidayah oleh Allah swt, yang mampu dijadikan panduan menjalani perjuangan ini.

Salam ukhuwah!




No comments:

Post a Comment